Sohaimi Shahadan (dua dari kiri) menyampaikan cek sumbangan kepada wakil rumah anak yatim pada Majlis Iftar Jama'i Bersama Anak Yatim Rumah Kanak-Kanak Sultanah Kalsom dan pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di Kuantan, Pahang, baru-baru ini. Turut hadir, Yusoff Harun (kiri) dan Nurul Khamar Shariff (dua kanan).
--------------------------------------------------------------------------------
KUANTAN 19 Ogos - Usaha menyebarkan syiar Islam bukan sahaja dilakukan di negara ini, malah, turut diperluaskan ke luar negara terutama kepada masyarakat minoriti Islam yang miskin.
Atas keprihatinan tersebut, Pemuda UMNO dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dengan kerjasama Yayasan Restu mensasarkan sebanyak 10,000 naskhah al-Quran untuk dibekalkan kepada masyarakat Islam di Kemboja.
Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, program wakaf al-Quran yang dilancarkan baru-baru ini bertujuan membantu masyarakat negara itu memperoleh al-Quran yang dikatakan sukar didapati di negara berkenaan.
Beliau menyeru orang ramai untuk membantu menjayakan usaha tersebut sama ada berbentuk naskhah al-Quran atau wang tunai.
''Sumbangan tersebut akan diagihkan kepada setiap masjid, madrasah, pusat tahfiz dan sebahagian penduduk di Kemboja selain beberapa aktiviti kemasyarakatan turut dijalankan.
''Kami berharap dapat mencapai sasaran tersebut dan setiap masyarakat Malaysia boleh menyumbang sekurang-kurangnya senaskhah al-Quran bagi membantu sekali gus membuat amal kebajikan sesama saudara Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar Jama'i Bersama Anak Yatim Rumah Kanak-Kanak Sultanah Kalsom dan pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Presiden KPTM, Datuk Yusoff Harun dan Pengarah KPTM Kuantan, Nurul Khamar Shariff.
Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan sumbangan kepada rumah kebajikan tersebut, pelajar serta anak-anak yatim kakitangan KPTM Kuantan.
Sohaimi yang juga Pengerusi KPTM berkata, sumbangan itu boleh disalurkan ke pejabat Perdasama, Lot 1717, Jalan Ledang Off Jalan Duta, 50480 Kuala Lumpur atau disalurkan terus ke akaun Dana Waqaf Al-Quran MayBank bermula 8 Ogos lalu hingga 8 Oktober ini.
Sementara itu, seorang penerima sumbangan, Nor Hanani Amiara Shafawi, 14, berkata, sumbangan tersebut akan dikongsi bersama lima adik-beradiknya yang lain bagi membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
''Saya bersyukur menerima sumbangan ini dan akan digunakan untuk membantu nenek membeli barangan keperluan lain," katanya.
No comments:
Post a Comment