Oleh Suhaila Shahrul Annuar
PUTRAJAYA: Keupayaan lebih 72 peratus graduan Kolej
Poly-Tech MARA (KPTM) mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat
pengajian masing-masing, membuktikan institusi pengajian itu berada pada
landasan tepat melahirkan graduan berkemahiran tinggi.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Awang Adek
Hussin, berkata keupayaan itu membuktikan graduan Bidang Latihan Teknikal dan
Pendidikan Vokasional (TVET) mempunyai kebolehpasaran yang cukup tinggi dalam
industri.
"TVET bukan lagi pilihan terakhir, sebaliknya semakin
mendapat pengiktirafan masyarakat dunia kerana kepentingannya terhadap
pembangunan ekonomi negara.
"Mereka yang dilatih KPTM, mempunyai kepakaran yang
bukan sedikit, disebabkan itu kebanyakan daripada mereka sudah ditawarkan
bekerja sebelum majlis konvokesyen lagi, malah ada yang sudah ditawarkan
bekerja ketika mengikuti latihan industri.
"Ini satu kelainan dan kebanggaan. Apabila saya
bertanya kepada mereka (graduan) ketika sesi penyerahan skrol pada majlis
konvokesyen ini, kebanyakannya sudah bekerja atau mendapat tawaran kerja,"
katanya selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen KPTM kali ke-34 di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Seramai 4,528 graduan menerima ijazah, diploma dan sijil
profesional masing-masing pada Majlis Konvokesyen KPTM kali ke-34 yang
berlangsung hari ini dan esok.
Turut menerima Diploma Pengurusan Perniagaan pada majlis
konvokesyen kali ini adalah anak kepada Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan
Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman iaitu Nur Diyana Rozaini Ahmad
Zaini, 21.
KPTM kini mempunyai lapan kampus dan satu Kolej Universiti
iaitu institusi pendidikan tinggi milik penuh MARA dan bernaung di bawah
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
Awang Adek berkata, setakat ini KPTM sudah melahirkan 45,409
graduan dan berdasarkan Laporan Sistem Pengesanan Graduan KPTM 2015/2016, 84.3
peratus daripada mereka berjaya menempatkan diri dalam sektor pekerjaan.
Ketika berucap di majlis itu, Awang Adek mengingatkan
graduan supaya sentiasa berusaha, rajin dan tidak putus asa dalam mengecap
kejayaan dalam hidup.
"Selain itu, sentiasa hargai dan ingat usaha dan
sumbangan pelbagai pihak yang menyumbang kepada kejayaan anda hari ini seperti
ibu bapa, guru, pensyarah, komuniti dan juga kerajaan.
"Apabila berada di hadapan, jangan lupa yang di
belakang, bila berada di atas, jangan lupa yang di bawah," katanya.
http://www.bhplus.com.my/berita/pendidikan/2017/10/343792/kptm-di-landasan-tepat-lahir-graduan-berkemahiran-tinggi
No comments:
Post a Comment