nuffang

Saturday, March 21, 2009

Jururawat Lelaki

PUTRAJAYA: Lebih ramai jururawat lelaki terlatih diperlukan negara kerana bidang penjagaan kesihatan kini sudah meluas dan tidak hanya menjurus kepada aspek kejururawatan dalam usaha memantapkan bidang kesihatan pada masa depan.Sehubungan itu, kerajaan mensasarkan untuk melahirkan kira-kira 300 jururawat lelaki daripada 3,000 jururawat terlatih yang dilahirkan setahun. Ketika ini, ada kira-kira 30,000 jururawat yang bertugas sama ada di hospital kerajaan atau swasta.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata usaha mempromosi kerjaya jururawat lelaki sedang giat dijalankan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi swasta yang menawarkan kursus kejururawatan.Beliau berkata, antara kolej yang menawarkan Diploma Kejururawatan dan giat melakukan pengambilan pelajar lelaki bagi mengikuti kursus berkenaan ialah Kolej Poly Tech Mara (KPTM) di Kelantan.“Kita harap dapat mencapai sasaran pengambilan 10 peratus jururawat terlatih terdiri daripada golongan lelaki dan adalah lebih baik jika lebih ramai jururawat lelaki dapat dilatih.“Setiap tahun, kira-kira 3,000 pelatih diambil mengikuti kursus kejururawatan yang ditawarkan di 15 institusi pengajian tinggi dan daripada jumlah itu, kerajaan berharap mampu menarik kira-kira 300 pelatih lelaki untuk mengikuti kursus kejururawatan.“KPTM di Kelantan sedang melatih ramai jururawat lelaki dan bukannya lelaki lembut sebab itu kita namakan mereka ‘Jururawat Jantan’ atau JJ,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian Penggunaan Kemudahan Hospital dan Klinik Kesihatan antara tiga kolej swasta dengan Kementerian Kesihatan di sini, semalam.
Kolej berkenaan ialah Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI), KPTM dan Universiti Kuala Lumpur Kolej Perubatan Diraja Perak (UniKL RCMP).Hadir sama, Pengerusi Mara merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kuala Lumpur dan KPTM, Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin; Pengerusi Majlis Universiti UCSI, Datuk Mohd Karim Abdullah Omar; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Mohd Nasir Mohd Ashraf dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Noorimi Morad.Beliau berkata, permintaan tenaga kerja dalam bidang itu sentiasa berkembang selaras dengan pertumbuhan semasa malah dianggarkan 15 peratus jururawat yang berkhidmat dengan kementerian bersara wajib setiap tahun dan jumlah itu tidak termasuk di sektor swasta.
Selain itu, katanya nisbah jururawat berbanding populasi penduduk juga agak jauh iaitu antara 1:600 penduduk sedangkan nisbah yang ideal ialah 1:200 orang.Sementara itu Dr Abdul Latiff berkata, kementeriannya akan meningkatkan pemeriksaan di semua institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menawarkan kursus perubatan dan kejururawatan. “Kementerian ada menerima laporan daripada ibubapa mengenai cara kursus kejururawatan dan perubatan dikendalikan di beberapa IPTS.“Setakat ini, dua IPTS sudah diberi amaran dan kementerian akan menjalankan pemeriksaan mengejut dengan lebih kerap pada masa depan untuk memastikan mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Note: Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin