nuffang

Sunday, August 22, 2010

KPTM Semporna


KPTM Kampus Cawangan Semporna Beri Peluang Anak Tempatan Kejar Ilmu

SEMPORNA, SABAH – 09 Ogos 2010 – Langkah Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) menubuhkan kampus Cawangan yang ke-lapan di Semporna dijangka akan dapat menjadi pencetus semangat dan hala tuju kepada remaja-remaja di daerah ini dan negeri Sabah untuk merebut peluang menjadi insan yang berilmu.

Majlis Perasmian KPTM kampus cawangan Semporna ini telah diadakan di perkarangan KPTM Semporna dan disempurnakan oleh Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Bin Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).


Pengerusi KPTM, Dato’ Sohaimi Shahadan berkata, impian KPTM untuk melebarkan sayapnya ke luar Semenanjung telah tercapai dan ia sebagai peluang kepada mereka untuk mendapatkan ilmu sekaligus dapat membantu penduduk luar bandar terutamanya kepada golongan miskin tegar untuk keluar daripada kepompongnya melalui pendidikan.
“Ini merupakan pembaharuan yang dibawa oleh KPTM berbeza dengan IPT lain yang mana KPTM kini memilih kawasan luar bandar untuk memberi kemudahan pendidikan kepada anak-anak di kawasan ini apabila tamat persekolahan.

“Ia juga sebagai salah satu cara untuk mengimbangi keperluan pendidikan di bandar dan luar bandar,” katanya.

Dengan adanya pendidikan yang disediakan oleh KPTM disini, ia merupakan satu mekanisma tulen untuk membasmi kemiskinan, lantas akan menaiktaraf kehidupan individu dan keluarga.

KPTM Semporna menawarkan dua kursus utama dalam bidang Perakaunan dan Pengurusan Perniagaan dengan seramai 200 orang pelajar pertama yang dipilih dari Semporna dan daerah-daerah berhampiran.

Penubuhan KPTM akan terus berkembang bagi memastikan peluang pendidikan akan terus di buka kepada pelajar dari negeri Sabah yang berkelayakan melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

KPTM akan menitikberatkan kursus keusahawanan berlandaskan kepada keperluan industri kerana ia merupakan elemen penting dalam pembentukan graduan cemerlang KPTM selaras dengan kehendak pasaran kerjaya masa kini.

KPTM Semporna dilihat sebagai lembaran baru kesinambungan pendidikan tinggi yang ditawarkan oleh KPTM dan perspektif baru perjuangan dalam pendidikan bagi memastikan kewujudannya terus relevan, dinamik dan mampu menghadapi persaingan demi masa yang sentiasa berubah.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Bin Haji Apdal berkata, kewujudan KPTM di daerah ini merupakan gambaran toleransi dalam memberi pilihan kepada remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pelajaran.

“Kesungguhan KPTM memainkan peranan dalam kesinambungan pendidikan secara tidak langsung dapat memenuhi tuntutan Negara dalam pelbagai aspek, terutamanya dalam memperbaiki ketudakseimbangan pendidikan serta sosio-ekonomi rakyat,” katanya.

Dato' Seri turut melahirkan keyakinan bahawa kursus yang ditawarkan dapat membantu meningkatkan lagi penjanaan modal insan berkualiti yang diperlukan Negara.

Pembangunan pendidikan yang diterajui oleh KPTM ini dilihat menerusi dua aspek utama iaitu tanggungjawab untuk meningkatkan bilangan pelajar di Sabah yang berilmu dan berkelayakan, bagi melahirkan graduan yang berkualiti dan peluang kepada majikan mempergunakan graduan yang berkualiti dan mempunyai kepakaran untuk menjadi lebih agresif dan aktif serta mampu menerokai pasaran dan pelbagai peluang baru.


Disediakan oleh
Unit Komunikasi Korporat

sumber: kptm.edu.my

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin