nuffang

Wednesday, July 24, 2013

Tan Sri Annuar Musa Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA)


Tan Sri Annuar Musa 
KUALA LUMPUR 23 Julai - Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang ke-30 menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, berkuat kuasa 19 Julai lalu.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Korporat Mara, ahli pengurusan serta warga Mara mengalu-alukan serta mengucapkan tahniah terhadap pelantikan Annuar.

"Dengan latar belakang akademik cemerlang serta pengalaman politik yang luas sudah pasti Annuar akan memantapkan lagi usaha serta peranan Mara selaku organisasi unggul dalam mengangkat martabat bangsa," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Annuar menggantikan Idris yang juga Menteri Pendidikan II, berikutan pelepasan jawatan Pengerusi Mara yang disandang Idris sejak 2008, kerana bertanding dalam pilihan raya umum lalu.

Annuar, 57, memiliki ijazah sarjana dalam Pengurusan Pembinaan dari University College of London serta ijazah sarjana muda Perancang Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Perancang Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pengarah Bahagian Perancang Korporat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kelantan.

Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan Pengerusi Fama (1989-1990) dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi tempoh 2005 hingga Mei 2013.

Annuar juga pernah menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan (1990-1993) dan Menteri Pembangunan Luar Bandar (1993-1999).

Selain itu, beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peringat (1986-1990) dan Kok Lanas (2004-2008) dan Ahli Parlimen Peringat (1995-1999).


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130724/dn_03/Annuar-Pengerusi-Mara#ixzz2Zw8joEBa
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin