nuffang

Monday, March 2, 2009

Metro Ahad: KPTM Anjur Program Rumah Angkat







Anjur program rumah angkat

HARI ini (1 Mac 2009) genap enam bulan Mohd Razali dilantik sebagai Rektor KPTM. Walaupun singkat, pelbagai perancangan atau agenda sudah dan bakal dilakukannya.Lebih penting, beliau mahu melihat satu hari nanti KPTM dinaiktaraf ke kolej universiti atau universiti selepas 26 tahun penubuhannya.Kini, daripada 13,000 pelajar melalui enam cawangan di seluruh negara, beliau yakin hujung tahun ini bakal mencecah 20,000 pelajar apabila empat lagi cawangan baru ditubuhkan iaitu di Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Sarawak.Untuk menampung jumlah pelajar berkenaan, kursus KPTM turut ditambah daripada 41 sekarang kepada 79 kursus, tambahan 38 kursus baru merangkumi teknikal dan profesional.

Begitupun, KPTM masih menunggu kelulusan 38 kursus baru berkenaan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang dijangka diketahui bulan depan.

“Sebagai sebuah kolej 100 peratus milik Mara, saya berhasrat menjadikan KPTM sebagai IPTS Melayu terbesar negara ini. Dengan syarat kemasukan hanya tiga kredit dalam SPM, inilah peluang yang mesti diambil anak Melayu untuk mendapat pendidikan tertinggi dalam hidup,” katanya.Menurutnya, sejak menerajui kolej itu, beliau mahu mengadakan pelbagai program bukan saja kepada pelajar, tetapi juga kakitangan.Antaranya, Mohd Razali memperkenalkan Program Pusat Kerjasama Kolej KPTM dengan industri iaitu mengadakan kerjasama dengan sektor industri untuk menerima pelajar dan pensyarah menjalani latihan praktikal bagi mendapatkan pengalaman.
KPTM turut menjalin hubungan dengan universiti luar negara melalui program berkembar supaya pelajar berpeluang menuntut di universiti terbabit, menjalani latihan industri malah bekerja selepas itu.“Buat permulaan, kita mengadakan kerjasama dengan universiti di Kanada, England dan Arab Saudi. April ini saya bercadang ke Australia untuk mencari universiti yang boleh kita adakan kerjasama,” katanya.Menurutnya, melalui cara itu, pelajar dan pensyarah mendapat manfaat apabila bertukar-tukar ilmu selain mempraktikkan pengalaman dimiliki di KPTM.
Mohd Razali turut mencadangkan penubuhan Institut Latihan Usahawan Muda (ILUM) yang menawarkan kursus keusahawanan mengikut model tertentu.Program yang terbuka kepada pelajar sekolah, penuntut kolej dan universiti itu memberi peluang mereka untuk berniaga dan jika menepati syarat kelayakan, pinjaman untuk mengembangkan perniagaan terbabit boleh dimohon.“Program ini kita akan jalankan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Sekretariat Usahawan Muda Asean serta Institut Keusahawanan Negara (Insken).“Ia dilaksanakan selama tiga tahun dan mereka perlu mengikut modul ditetapkan. Kita juga akan lantik mentor iaitu syarikat berjaya untuk membimbing mereka dan jika mereka boleh buat sendiri, kita beri peluang mereka jalankan bisnes itu, malah boleh membuat pinjaman,” katanya.
Selain itu, bagi mendekatkan pelajar dengan masyarakat, Mohd Razali mahu mengadakan program memasyarakatkan pelajar di setiap cawangan KPTM.Melalui program itu, katanya, setiap cawangan akan mengambil dua rumah angkat dan setiap hujung minggu pelajar mengadakan pelbagai aktiviti bersama keluarga rumah berkenaan.“Kita cadangkan program ini dua ke tiga tahun. Tahun pertama, merancang aktiviti manakala tahun kedua pula melaksanakan dan tahun ketiga, mendapatkan hasilnya.“Dalam program ini, pelajar dibawa mendekati keluarga yang hidup dalam kemiskinan seperti ibu tunggal, golongan cacat atau orang kurang upaya. Kita mahu mereka lihat dan sedar masih ada insan tidak bernasib baik tetapi mampu meneruskan kehidupan,” katanya.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin