nuffang

Sunday, March 1, 2009

Metro Ahad: Center Spread on Our Rector; Datuk Dr. Mohd Razali Agus

Pakcik Idola Mohd Razali
Oleh FUAD HADINATA YAACOB









SIKAPNYA yang peramah meskipun baru pertama kali bertemu, terasa bagaikan sudah lama kenal. Bukan saja penulis, tetapi dengan kakitangan juga Datuk Dr Mohd Razali Agus yang juga Ketua Pegawai Eksekutif dan Rektor Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) cukup mesra, malah ada ketikanya pandai membuat jenaka.Itu antara gambaran ringkas anak kelahiran Kajang, Selangor itu yang mudah membuatkan sesiapa yang menemuinya berasa selesa.


Meskipun berjawatan nombor satu dalam KPTM, beliau tidak meninggi diri, malah ketika berbual dengannya, banyak perancangan serta idea dalam kotak fikirannya yang hanya menunggu masa untuk dilaksanakan.Di kalangan ahli akademik, nama Mohd Razali tidak asing lagi. Sebelum dilantik ke jawatan sekarang pada 1 September lalu, beliau bertugas sebagai Naib Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) bermula 1 Ogos 2007.

Sebelumnya, bapa kepada lima cahaya mata itu bertugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaya (UM) dari 2003 hingga 2007.


“Saya sebenarnya mahu merendah diri apabila masuk ke sini (KPTM), malah merancang pelbagai aktiviti untuk kolej, pelajar dan kakitangan. Selepas itu, baru terfikir untuk menghebahkannya,” katanya sambil menghulurkan biodata peribadi seperti diminta.Penulis yang menerimanya terkejut apabila mendapati biodata itu mengandungi 44 halaman atau muka surat bermula daripada alamat rumah sehingga ke pelbagai aktiviti dilakukan.





Menariknya mengenai biodata beliau, ia memaparkan tarikh dan masa sesuatu peristiwa itu berlaku. Misalnya dalam satu artikel terbitan akhbar Berita Harian bertajuk ‘Persaingan dalam usaha membantu setinggan’, dicatatkan tarikh siarannya pada 9 April 1984.Selain itu, pelbagai pencapaian dan kejayaan dilalui tokoh akademik berusia 53 tahun itu. Antaranya, beliau pernah dilantik sebagai perunding dan pakar rujuk dalam bidang perancangan bandar raya, perumahan dan setinggan kerana itu kepakarannya.Hampir 30 tahun dalam akademik, Mohd Razali melahirkan hampir 20 lulusan Doktor Falsafah (PhD) selain menghasilkan 18 buku akademik dan teks ilmiah.Di samping itu pelbagai jurnal tempatan dan antarabangsa diterbitkan, malah kepakaran beliau menjadikannya sumber rujukan di pelbagai peringkat.

Melihat latar belakangnya, Mohd Razali boleh dikategorikan golongan cerdik pandai dan sebagai bukti, menerima anugerah pelajar terbaik tahun dua dan akhir ketika menuntut di Jabatan Antropologi dan Sosiologi UM, sekali gus menerima Biasiswa Tinggi Universiti dari 1977 hingga 1979.Begitupun, ‘kecerdikan’ beliau hanya terserlah di tingkatan enam ketika menuntut di MCKK, malah anak kedua daripada tujuh beradik itu tidak malu untuk memberitahu keputusan peperiksaan di sekolah.“Ketika di tingkatan tiga, masa itu dipanggil LCE, saya dapat Sains agregat 7 tetapi Matematik A. Di tingkatan lima pula, MCE saya dapat gred 2 dengan 26 agregat. Matematik cemerlang berbanding Sains yang kurang saya minati,” katanya.




Kecemerlangan Mohd Razali itu ada kaitan dengan kejayaan bapa saudaranya. Seorang daripadanya, Abu Hassan yang bertugas sebagai guru besar sebuah sekolah di Kajang, mengajarnya Bahasa Inggeris manakala seorang lagi, Buyong Bojok, lulusan Kolej Islam Padang Panjang, Sumatera, mahir dalam matematik.“Masa itu, kedua-dua pakcik ini idola saya kerana kejayaan mereka. Jadi, setiap hujung minggu saya belajar dengan mereka,” katanya.Selain belajar, seperti kanak-kanak lain, Mohd Razali juga mengisi masa terluang dengan bermain bersama rakan. Namun, katanya, sebagai anak anggota polis, hidupnya adik-beradik tidak lari daripada disiplin.“Ayah anggota polis manakala emak pula suri rumah. Sudah tentu ayah berdisiplin, tetapi emak juga begitu. Jika balik selepas Maghrib, memang kena rotan,” katanya.Begitupun, katanya, hidup dikelilingi bapa saudara yang berjaya banyak mendorong dirinya mengikut jejak langkah mereka.Ketika di tingkatan enam, Mohd Razali mencatat keputusan cemerlang atau sijil penuh dan berbekalkan itu, beliau memohon menyambung pelajaran ke UM.
Sepanjang di UM, selain belajar, beliau aktif berpersatuan. Mohd Razali pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Mahasiswa Anak-anak Selangor (Permas) serta Pengerusi Persatuan Mahasiswa Anak-anak Selangor IPTA Se-Malaysia.Sebagai ketua dua pertubuhan itu, Mohd Razali mewujudkan program hujung minggu di sekolah setiap daerah dalam Selangor.Melalui program itu, beliau bersama rakan lain turun padang ke sekolah ditetapkan untuk memberi kelas tuisyen kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.“Setiap hujung minggu kita tetapkan sekolah mana yang hendak pergi. Dulu tiada sumbangan, malah kita bayar kos mereka seperti tambang bas dan duit makan sepanjang ke sekolah terbabit.“Program seperti ini yang saya hendak praktikkan di KPTM dan berharap dapat mengubah sikap balik kampung setiap hujung minggu,” katanya.

Berdasarkan kecemerlangan dan keupayaan beliau, tidak sukar untuk Mohd Razali mendapat kerja selepas menamatkan pengajian di UM, malah tidak sampai dua minggu selepas tamat peperiksaan akhir, beliau diterima bekerja sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat.Begitupun, ia tidak lama apabila Mohd Razali diterima bertugas sebagai tutor di UM.

Sejak itu, kerjaya beliau dalam akademik bermula sehingga dilantik Naib Canselor Unisel sebelum berpindah ke KPTM.


PROFIL

NAMA: Datuk Dr Mohd Razali Agus

USIA: 53 tahun

LAHIR: 7 Disember 1955 di Kajang, Selangor

JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif dan Rektor Kolej Poly-Tech Mara (KPTM)

ISTERI: Datin Zuraidah Zainudin

ANAK: Dr Farah Norwahidah (26); Mohd Haqim (22); Norliana (19); Muhammad Firdaus (16) dan Muhammad Afiq Ikmal (9)

PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Kebangsaan Batu 9, Cheras; Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Bukit, Kajang, Selangor; Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK); Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya (1979); Ijazah Sarjana University of Birmingham, England (1981); Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Cornell University, Amerika Syarikat (1991)

ANUGERAH: Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah, Selangor (DSIS) daripada Sultan Selangor pada 17 Mac 2003 dan Anugerah Khidmat Cemerlang Universiti Malaya, 2003

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin