nuffang

Tuesday, April 8, 2014

Laporan Pasar Tani Siswazah 2 Dalam Sinar Harian Pahang

Bantu lepasan IPMA jadi usahawan

NURUL ZAILA MOHD TAHIR
6 April 2014

Tugimon (kanan) melepaskan ikan ke dalam akuarium sebagai simbolik perasmian sambil diperhatikan Kassim (kiri) dan tetamu lain.



KUANTAN – Pinjaman maksimum RM10,000 boleh diperoleh oleh lepasan pelajar Institusi Pendidikan Mara (Ipma) bagi membantu mereka mengorak langkah untuk menjadi usahawan berjaya.

Majlis Amanah Rakyat (Mara) Pahang menyasarkan sekurang-kurangnya 100 lepasan Ipma yang berusia di antara 18 hingga 40 tahun akan mengambil peluang tersebut bagi tahun 2014.

Pengarah Pembangunan Usahawan Mara Pahang, Tugimon Abd Hamid berkata, pinjaman yang ditawarkan adalah sangat mudah dan kelulusannya juga tidak memerlukan banyak peringkat.

Menurutnya, peminjam boleh menjalankan apa jua bidang perniagaan termasuk secara atas talian atau perniagaan biasa.

“Langkah ini diperkenalkan untuk membantu lepasan pelajar Ipma yang rata-ratanya mempunyai ilmu pengetahuan, kemahiran dan minat tetapi tidak mempunyai modal mencukupi untuk memulakan perniagaan.

“Usaha ini baharu sahaja diperkenalkan iaitu sebanyak RM50 Juta diperuntukkan untuk peminjam di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pasar tani siswazah, di Jalan Gambang, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kolej Poly-tech Mara Kuantan, Kassim Osman.

Beliau berkata, mereka yang berkelayakan disarankan segera memanfaatkan peluang keemasan ini kerana ia adalah salah satu cara terbaik untuk mencipta para usahawan berjaya.

“Ia bukan sahaja membantu golongan usahawan muda tetapi kaedah pembayaran balik juga amat mudah dan tanpa dikenakan sebarang bunga atau bayaran tambahan.

“Peminjam diberikan tempoh selama tiga tahun untuk membuat bayaran balik yang boleh dilakukan secara ansuran.

“Pihak berkaitan akan memantau projek atau perniagaan yang dijalankan supaya setiap yang dimulakan tidak sia-sia.

“Bukan sahaja lepasan Ipma tetap peluang ini turut dibuka kepada usahawan muda yang lain tetapi mereka memerlukan kelulusan di peringkat daerah.

“Kami menyasarkan 100 peminjam tetapi dana akan ditambah sekiranya lebih ramai yang membuat permohonan,” katanya.
sumber: sinar harian

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin